STRUKTUR permainan pasukan, diberi tumpuan khusus pada persiapan akhir skuad negara, menghadapi saingan Piala Dunia Remaja 2023 yang akan bermula 5 hingga 16 Disember ini.
Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhammad Amin Rahim berkata, pengalaman pada dua kejohanan lalu, iaitu Piala Sultan Johor (SOJC) dan Piala Remaja Asia, cukup untuk menceritakan kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki.
Katanya, kegagalan Young Tigers untuk mengekalkan momentum di sepanjang usia permainan menyaksikan pasukan bimbingannya gagal beraksi baik dalam tempoh 60 minit permainan.
“Ya kita beri tumpuan lebih kepada struktur permainan kerana di SOJC, skuad kita lebih bermain pada suku ketiga dan keempat, dua suku terakhir baharu nampak bersedia untuk bermain.
“Berbeza pada Piala Remaja Asia (Oman) pada Mei lalu, pemain hanya boleh ‘bermain’ pada dua suku pertama.
“Jadi kita sudah ada pengalaman dua situasi berbeza, dua senario dan sedang berkerja keras untuk pasukan boleh konsisten untuk sepanjang 60 minit,” kata Amin, pada sidang media selepas latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Sesi latihan di atas padang kejohanan hari ini dijalankan secara tertutup.
Esok, skuad negara akan menentang India pada perlawanan persahabatan terakhir sebelum membuka saingan menentang Chile pada 8 malam Selasa.
Selain Chile, skuad negara bersaing dengan Argentina dan Australia dalam kumpulan A.