ARAIJEET Singh Hundal bakal menjadi wira India ketika gergasi Asia itu memburu merampas kembali kejuaraan Piala Dunia Remaja tahun ini, selepas meledak hatrik ketika menumbangkan Korea Selatan 4-2, semalam.
Tidak dibawa ke Johor bagi menghadapi saingan Piala Sultan Johor, Oktober hingga November lalu, Araijeet bagaikan senjata rahsia India selepas ketua jurulatih, C R Kumar memberi alasan tidak mahu anak buahnya itu mengalami kecederaan, apabila meledak dan tampil berbahaya pada aksi pertama semalam.
Pada pertemuan dengan Korea, pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan satu gol menerusi pukulan sudut penalti manakala dua lagi jaringannya adalah gol padang.
Justeru, menentang Sepanyol esok, dia bakal memainkan peranan penting untuk memastikan India menjuarai Kumpulan C sekali gus menempah tiket ke suku akhir.
“Saya rasa amat bangga kerana dapat menjaringkan hatrik. Dengan kualiti yang ada pada pasukan sekarang, ia memudahkan tugas saya.
“Ini bukanlah kali pertama saya menjaringkan hatrik kerana pernah melakukannya pada Piala Dunia sebelum ini ketika bertemu Kanada,” katanya.
Araijeet bagaimanapun tidak menafikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki olehnya serta rakan sepasukan mengambil kira Sepanyol juga dilihat cukup berbahaya selepas membelasah Kanada 7-0 pada perlawanan pertama, semalam.
“Semua pasukan yang beraksi pada Piala Dunia adalah pasukan yang bagus. Kami tidak pernah memandang mudah setiap pasukan yang akan ditemui,” katanya.