JUARA bertahan Piala Dunia Remaja, Argentina merendah diri menjelang saingan di Kuala Lumpur, apabila enggan dilabel sebagai pasukan pilihan pada edisi kali ini.
Ketua jurulatih, Juan Ignacio Gilardi berkata, kejayaan muncul juara pada 2021 di Bhubaneswar, India sudah lama berlalu dan hanya tinggal lipatan sejarah.
“Saya tahu kami adalah juara bertahan, tetapi ini adalah Piala Dunia yang baharu untuk kami. Kami sememangnya bukan pasukan pilihan.
“Kemenangan kami pada tahun 2021 sudah berlalu. Ia sudah menjadi sejarah. Kami perlu mempamer aksi terbaik untuk memenangi perlawanan pada kali ini.
“Banyak pasukan yang kuat di sini. Jerman, Belanda, Australia, Belgium, India, Pakistan, malah Malaysia juga adalah pasukan yang kuat. Semua pasukan yang bermain dalam Piala Dunia Remaja adalah pasukan yang bagus,” katanya.
Mengulas mengenai skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama anak buahnya selain Australia dan Chile, Gilardi berkata, beliau sudah pun melihat ulang tayang video pasukan Malaysia dan merumuskan skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim sebagai pantas serta kuat.
Gilardi berkata, meskipun tampil selaku juara bertahan, barisan pemainnya tidak berdepan sebarang tekanan.
“Sebab pasukan kali ini adalah berbeza. Hanya lima pemain dari skuad pada Piala Dunia 2021 di Bhubaneswar, India yang masih kekal beraksi pada kali ini.
“Tapi saya rasa kami sudah melakukan persediaan dengan rapi dan dengan prestasi yang baik, kami berharap dapat melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.
Berdasarkan kedudukan ranking dunia pasukan remaja, Argentina berada tangga teratas carta, diikuti Jerman (kedua), India (ketiga) manakala skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim di ranking kelapan dunia.
Argentina akan membuka saingan menentang Australia, Selasa ini.