BURRAS menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Dunia Remaja, selepas mudah mengatasi Chile 7-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kekalahan 0-1 di tangan juara bertahan pada perlawanan pertama semalam, menyaksikan skuad bimbingan Jay Stacy bangkit dengan permainan lebih kemas.

Hasilnya mereka memperoleh gol pertama minit ke-11 menerusi jaringan padang Cooper Burns namun Chile berjaya menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan pukulan sudut penalti minit ke-14 yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Joaquin Munoz.

Pengendali Australia, Jay Stacy melakukan eksperimen menggunakan pelbagai corak permainan ketika menewaskan Chile.

Ketika Chile seakan mampu memberi tentangan, Australia tidak menunggu lama untuk kembali di depan hasil gol padang Brodee Foster minit ke-17 dan tiga minit selepas itu, giliran Craig Marais menewaskan penjaga gol Chile, Teodoro Sinning.

Cambell Geddes meletakkan Australia selesa dengan kelebihan 4-1 sebelum rehat separuh masa pertama apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-30.

Bersambung separuh masa kedua, Will Mathison menambah gol kelima Australia menerusi pukulan sudut penalti minit ke-47.

Australia mengasak kubu Chile pada perlawanan kedua kumpulan A, saingan Piala Dunia Remaja 2023. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

Marais kemudian menjaringkan dua gol pantas minit ke-52 dan 53 sekali gus hatrik untuknya pada perlawanan berkenaan.

Kekalahan kali kedua selepas turut dibelasah Malaysia 7-1 semalam menyaksikan peluang Chile untuk mara ke suku akhir sudah tertutup rapat.

Jay Stacy menyifatkan anak didiknya mempamerkan banyak peningkatan berbanding perlawanan pertama dan tidak meletakkan jangkaan seberapa banbyak jaringan yang mereka mahukan.

“Saya tidak letak jangkaan jaringan tetapi perlawanan ini, saya jadikan sebagai eksperimen menguji pelbagai corak permainan dan saya gembira dengan prestasi beberapa pemain dan juga beberapa gol yang terhasil,” kata Jay Stacy, sambil menyifatkan Chile sebagai pasukan yang cetek pengalaman di pentas antarabangsa.

Australia kini meraih tiga mata, bakal berdepan Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan, pada Jumaat.