MENJELANG pertemuan terakhir kumpulan A antara Malaysia menentang Australia esok, pengendali The Burras tidak mahu terlalu yakin sehingga menganggap Young Tigers pasukan yang mudah dijinakkan.

Pengendalinya, Jay Stacy berkata, Malaysia yang dibarisi pemain berbakat, mempunyai kelebihan tertentu, meskipun beliau percaya anak didiknya mampu tewaskan skuad negara esok.

“Ya kita ada keyakinan bukan hanya menewaskan Malaysia, malah pasukan-pasukan lain yang beraksi di kejohanan ini (Piala Dunia Remaja),

“Tetapi pada kejohanan sebesar ini, pemain mengalami perasaan berbeza dan kami perlu melakukan beberapa rombakan kecil untuk disesuaikan dengan perlawanan menentang Malaysia.

Jay Stacy anggap pasukan yang memberi komitmen 100 peratus akan memenangi perlawanan esok.

“Namun sehingga peringkat ini, semua pasukan hadir dengan misi mahu memberi seratus peratus komitmen dan memburu kemenangan,” kata Jay Stacy.

Menurutnya, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim dibarisi ramai pemain muda yang meningkat naik dan beliau menjangkakan perlawanan menarik, esok.

“Kami tahu Malaysia mempunyai pemain yang cukup dinamik, memiliki kepantasan dan berkemahiran tinggi dan jika kami mahu menang, pasukan kami perlu berada di tahap terbaik.”

Australia juga memiliki kelebihan fizikal berbanding pasukan negara. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT
WILL PALMER

Australia tewas 0-1 kepada Argentina pada perlawanan pertama, bangkit mengatasi Chila 7-1 pada perlawanan kedua kumpulan A, kini berkongsi tiga mata dengan Malaysia namun memiliki kelebihan dari segi perbezaan jaringan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu jam 2 petang esok, bagi mencari satu lagi slot ke suku akhir, mengiringi Argentina yang sudah layak dengan enam mata.

Argentina pula akan menempuh perlawanan mudah menentang Chile pada aksi terakhir kumpulan A.