JERMAN tampil dengan corak menyerang biarpun berhadapan beberapa kecederaan pemain, ketika mencatat kemenangan 5-3 ke atas Afrika Selatan dalam kejohanan Piala Dunia Remaja (Lelaki) 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ketua jurulatih hoki remaja Jerman, Rein van Eijk berkata, pemainnya kecederaan sebelum perlawanan pertama dan terpaksa menerima rawatan di Institut Sukan Negera (ISN) semalam.

Beliau memuji tindakan pantas dari ISN memeriksa pemain mereka dari berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kami sangat gembira bahawa kami berjaya menang dan kami mengucapkan tahniah kepada orang Malaysia (ISN) kerana membantu kami dengan begitu cepat untuk merawat dan memeriksa pemain kami (Liam Holdermann).

“Dia mengalami sedikit kesakitan di dada sebelum perlawanan pertama dan bila diperiksa tiada kecederaan serius. Dia datang terus kepada kami dan tetap diturunkan di suku kedua dan berjaya menjaringkan gol,” katanya.

Jerman mencapai kemenangan pertama dalam kumpulan B dalam misi memburu kejuaraan ketujun Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur. | Foto: WORLDSPORTPICS COPYRIGHT WILL PALMER

Beliau mengakui pemain sedikit gementar dalam perlawanan pertama namun tetap memberikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan penting.

“Kami bermain baik dan mendahului permainan namun membiarkan pemain (Afrika Selatan) merapatkan jaringan sebelum kami bangkit dengan cepat untuk menghalang mereka terus meledak gol,” katanya.

Sementara itu, skuad kendalian Van Eijk  menguasai hampir keseluruhan permainan dan memperoleh jaringan menerusi Paul Glander, Florian Sperling, Liam Holderman, Matteo Poljaric dan Ben Hasbach manakala gol Afrika Selatan menerusi David Teshbu, Jaydon Brooker dan Hans Neethling.