PASUKAN paling berjaya dalam sejarah Piala Dunia Remaja, Jerman menjalani latihan dalam dewan dalam usaha mendapatkan simulasi perlawanan sebenar di Kuala Lumpur.
Ketua jurulatihnya, Rein van Eijk berkata, usaha latihan di atas padang turf dalam dewan itu bagi memastikan pemain mendapat pengalaman situasi paling hampir dengan cuaca sebenar di Kuala Lumpur.
“Antara persiapan kita adalah menjalani latihan dan perlawanan simulasi dalam dewan bagi mendapatkan humiditi yang agak sama dengan Malaysia, kerana kami tahu pasti pemain akan beraksi dalam cuaca panas.
“Selain itu, saya yakin kami telah melakukan persiapan terbaik walaupun tiada latihan pusat, dan pemain tidak kerap bersama sebagai satu pasukan.
“Namun, pemain yang kami bawa ini mempunyai pendedahan yang cukup iaitu 20 perlawanan selain 60 hari dikumpul,” kata Rein.
Menurutnya, sebagai persiapan, sebahagian pemainnya mendapat pendedahan beraksi bersama skuad senior dalam Liga Pro FIH.
Menurut Rein, skuadnya hadir dengan misi mahu memburu kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2013 di New Delhi, India.
“Saya harap pasukan kali ini mampu menjelmakan prestasi terbaik kerana Jerman memiliki rekod cemerlang beraksi di Malaysia, kami pernah muncul juara pada 1982 (Kuala Lumpur), 1989 (Ipoh), dan 2009 (Johor Bahru).
“Namun banyak pasukan yang bagus seperti Australia, Belanda dan tidak terkecuali Argentina, juara bertahan selain India dan Perancis boleh menjadi ‘kuda hitam’ dalam kejohanan kali ini.”
Mengulas mengenai perlawanan pertama menentang Afrika Selatan Selasa ini, Rein, 35, berkata, pengalaman dua kali menentang pasukan terbabit tahun ini termasuk di kejohanan Piala Sultan Johor empat minggu lalu, mereka diberi tentangan sengit.
“Afrika selatan memiliki pemain yang mempunyai nama besar seperti Mustapha Cassiem, 21, di jentera serangan dan pastinya akan memberi kesukaran kepada kami.
”Malah pasukan kali ini berbeza berbanding di Piala Sultan Johor dengan adanya Mustapha dalam skuad,” ujarnya.
Jerman berada dalam kumpulan B bersama Afrika Selatan, Perancis dan Mesir.