YOUNG Tigers memilih jalan sukar dalam misi lolos ke suku akhir, Hoki Piala Dunia remaja 2023, apabila melakukan banyak kesilapan terutamanya ketika mengambil pukulan sudut penalti, dan menghadiahkan Argentina empat gol, pada perlawanan kedua kumpulan A.

Kegagalan mengekalkan momentum sebagaimana menentang Chile semalam, menyaksikan skuad negara wajib menang ke atas Australia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Jumaat ini.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu ketinggalan dua gol di separuh masa pertama.

Disebalik memiliki peluang menjaringkan gol menerusi empat pukulan sudut penalti yang diperoleh Young Tigers, semuanya gagal disempurnakan dengan baik.

Situasi itu membuka peluang buat Bautista Capuro dan Marco Aguirregomezcorta meletakkan pasukan nombor satu dunia itu selesa 2-0 menerusi jaringan padang pada minit ke-20 dan 28.

Bersambung babak kedua, pemain negara memperkemaskan permainan dengan tidak membuka ruang terlalu banyak buat Argentina.

Mereka beraksi dengan baik sehinggalah pada minit terakhir suku ketiga, Argentina memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada perlawanan ini.

Kapten pasukan lawan, Inali Minadeo tidak mensia-siakan peluang mengubah kedudukan 3-0 pada minit ke-44, sekali gus meletakkan tekanan lebih tinggi kepada skuad negara.

Bersambung suku keempat, Juan Fernandez menjaringkan gol padang untuk Argentina 4-0 di depan.

Kekalahan ini meletakkan Malaysia berkongsi tiga mata dengan Australia, manakala Argentina sudah pasti melayakkan diri ke suku akhir.

Skuad negara akan berdepan Australia Jumaat ini, pada perlawanan terakhir kumpulan A.