PERTEMUAN dengan Mesir amat penting dan skuad hoki remaja lelaki negara tidak akan memandang rendah kemampuan lawan itu apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu Isnin ini, pada penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 dalam kempen Piala Dunia Remaja 2023.
Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim berkata, dia menaruh keyakinan terhadap kemampuan anak buahnya meskipun sedar Mesir bukanlah sebuah pasukan yang boleh dipandang mudah
“Saya selalu yakin dengan pemain dan pasukan saya. Sekarang ini, kita kena buat persediaan untuk bertemu Mesir. Mesir bukan pasukan yang mudah, mereka mempunyai kekuatan dari sudut fizikal.
“Sudah tentu untuk kita menang, kita perlu menjaringkan gol dan memecahkan mental mereka. Apabila dapat memecahkan mental mereka dan (mereka) mula hilang permainan, kita boleh kawal permainan,” kata Amin.
Pada Jumaat, Malaysia tewas 5-2 kepada Australia dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekali gus gagal menempah tempat ke suku akhir yang menjadi sasaran awal pasukan.
“Kita akan buat persediaan dan persiapan. Kita akan gunakan tempoh dua hari rehat yang ada dengan sebaik mungkin, untuk proses pemulihan dan juga persiapan berjumpa Mesir.
“Bukan perlawanan yang mudah dan ia akan menjadi perlawanan sengit. Semua pasukan yang datang adalah pasukan yang baik. Kita hormat mereka tetapi dari pihak kita, kena buat kerja kita dan saya lebih fokus kepada pasukan kita sendiri.
Sementara itu, ketua jurulatih Mesir, Mostafa Khalil mengakui pasukannya beraksi buruk sepanjang kejohanan gara-gara berdepan masalah keceeraan pemain, dan kekurangan waktu latihan sebagaimana ditetapkan Persekutuan Hoki Dunia (FIH).
“Sejak tewas kepada Jerman, sasaran kami jelas mahu menamatkan saingan di kedudukan kesembilan dan saya rasa adalah baik kerana kami bertemu Malaysia berbanding Australia.
“Menentang Australia sudah tentu sukar kepada kami kerana mereka jauh lebih baik tetapi kami rasa boleh melawan Malaysia dan tahap pasukan agak sama, lebih mudah untuk kami menentang Malaysia,” kata Mostafa.
Untuk rekod, Mesir yang tewas 10-0 di tangan Jerman pada aksi terakhir Kumpulan B semalam, menutup tirai perlawanan peringkat kumpulan dengan berada di tangga tercorot dan tanpa sebarang kemenangan.
Malaysia pula melabuhkan tirai saingan peringkat kumpulan dengan berada di tangga ketiga di belakang dua slot kelayakan ke suku akhir yang diraih Argentina dan Australia selepas masing-masing mengumpul sembilan dan enam mata berbanding skuad negara, tiga mata.