PERANCIS memulakan misi untuk menebus kekecewaan di Piala Dunia Remaja dua tahun lalu dengan langkah kanan apabila mengatasi Mesir 3-1 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.
Pasukan ranking ketujuh dunia itu tewas di tangan Argentina pada separuh akhir saingan di Bhubaneswar, India dua tahun lalu, tampil dengan keazaman tinggi.
Begitupun, tiga mata penuh yang diraih mereka belum memuaskan hati ketua jurulatih, Matthias Dierckens yang menganggap barisan pemainnya mempamer aksi di bawah tahap sebenar sehingga membenarkan Mesir menjaringkan satu gol.
“Untuk memulakan aksi di kejohanan ini bukan mudah. Kami perlu menyesuaikan diri dengan beberapa perkara kerana tidak biasa bertemu Mesir.
“Kami perlu memahami corak permainan mereka yang agak berbeza. Sejujurnya saya tak berpuas hati dengan prestasi pasukan walaupun mendapat tiga mata penuh.
“Kami tidak beraksi pada tahap terbaik, tidak agresif dan sering melakukan kesilapan mudah,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan hari ini, Arthur Morcrette membuka jaringan untuk Perancis menerusi gol padang pada minit ke-21 sebelum Mathis Clement menambah gol kedua empat minit selepas itu, juga menerusi gol padang.
Gaspard Denis menjadikan kedudukan semasa 3-0 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-38 sebelum gawang gol Perancis dibolosi pada minit ke-49 hasil jaringan padang Ahmed Elhadi.
Perancis yang menamatkan saingan di tempat ketiga dekat Bhubanewsar, akan berdepan tugas getir bertemu naib juara dua tahun lalu, Jerman pada perlawanan kedua peringkat kumpulan esok.