KEJOHANAN Hoki Piala Dunia Remaja (lelaki) terpaksa merombak jadual perlawanan, bagi memberi laluan kepada final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu.
Final Piala Malaysia dijadual pada 9 malam 8 Disember depan, bertembung dengan jadual perlawanan ketiga Piala Dunia Remaja antara Australia menentang Malaysia yang dijadual pada jam 8 malam hari sama, sekali gus dibimbangi mengganggu pergerakan pasukan ke venue pertandingan akibat kesesakan lalu lintas.
Justeru, kejohanan berstatus Piala Dunia itu, terpaksa mengalah dengan final Piala Malaysia.
Pada 8 Disember, terdapat empat perlawanan Piala Dunia Remaja, membabitkan saingan kumpulan B antara Afrika Selatan menentang Perancis (9 pagi), Jerman menentang Mesir (11 pagi), Argentina menentang Chile (6 petang) dan Australia menentang Malaysia (8 malam).
Justeru, perlawanan membabitkan Australia dan Malaysia diawalkan ke jam 2 petang, sekali gus jadual tiga perlawanan lain dirombak ke waktu yang lebih awal.
Perlawanan pertama Afrika Selatan menentang Perancis akan dilangsungkan pada jam 8 pagi, 10 pagi (Jerman menentang Mesir) dan 12 tengahari (Argentina menentang Chile).
Pengurus kejohanan, Brian Fernandez berkata, pihaknya terpaksa melakukan pertukaran jadual itu atas nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jika tak ubah jadual, pasukan kena datang awal kira-kira tiga jam sebelum berlangsungnya perlawanan. Kalau itu berlaku, memang pasukan tak nak datang awal ke stadium. Mereka nak buat apa?
“Jadi atas nasihat PDRM, kami kemukakan rayuan kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa), memaklumkan mereka berhubung situasi itu. FIH akhirnya bersetuju untuk mengubah jadual perlawanan pada 8 Disember.
“Pada hari itu, banyak jalan akan ditutup dan walaupun bas pasukan akan mempunyai polis pengiring, ia tetap sukar untuk tiba di stadium kerana seawal jam 12 tengahari penyokong bola sepak biasanya sudah hadir ke stadium,” katanya, pada sidang media Piala Dunia Remaja, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Tegas Brian, mengikut jadual asal, aksi final Piala Malaysia sepatutnya berlangsung pada 9 Disember namun diubah kepada 8 Disember kerana ia membabitkan final antara dua pasukan yang cuti hujung minggu jatuh pada Jumaat dan Sabtu.
“Jika tarikh asal (final Piala Malaysia) kekal 9 Disember, kami tidak akan mengubah jadual perlawanan,” katanya.
Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja kali ini dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.
Saingan Piala Dunia Remaja berlangsung dari 5 hingga 16 Disember, dengan skuad lelaki negara membuka saingan menentang Chile pada hari pertama kejohanan, sebelum berdepan Argentina pada 6 Disember.