PEMAIN negara perlu mengikuti proses yang betul memulihkan tenaga dan kecergasan sebelum menentang Australia, pada perlawanan ‘hidup mati’ kumpulan A.

Hanya kemenangan ke atas The Burras mampu membuka jalan buat young Tigers lolos ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2023, biarpun kedua-dua pasukan kini terikat tiga mata.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Muhammad Amin Rahim berkata, pemain perlu berdisiplin dan cepat memproses kekalahan 0-4 kepada Argentina sebagai satu pengajaran berguna.

Tiada pilihan… ketua jurulatih skuad remaja lelaki mahu Young Tigers keluar menentang Australia dengan kemenangan.

“Saya mahu pemain melalui proses yang betul untuk recovery, pemakanan, analisa video dan melakukan kerja rumah yang perlu mereka buat kerana hanya kemenangan boleh membawa kita ke suku akhir,” kata Amin, selepas skuad muda negara tewas kepada pasukan nombor satu dunia, Argentina semalam.

Menurutnya, perubahan jadual yang menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Australia esok terpaksa dirombak lebih awal iaitu jam 2 petang, mungkin memberi sedikit kelebihan, “Mungkin kerana Australia sendiri mengakui bermasalah dengan cuaca panas tetapi tidak semestinya memberi kelebihan buat kita, apapun tiada alasan buat pemain dan tiada pilihan lain selain memberi persembahan terbaik sepanjang tempoh 60 minit perlawanan dan keluar sebagai pemenang.”

Shahmie Irfan Suhaimi tidak berpeluang menjaringkan gol menentang Argentina, selepas pukulan sudut penalti diambil skuad negara, gagal disempurnakan dengan baik.

Mengulas mengenai kekalahan kepada Argentina, Amin mengakui skuad negara berpeluang melakar kejutan apabila memperoleh empat pukulan sudut penalti berbanding lawan, hanya satu.

“Jika lihat pada dua suku pertama, kita boleh menandingi mereka tetapi ketahanan fizikal mereka cukup baik sepanjang 60 minit perlawanan.

“Sedangkan pemain negara pula tidak konsisten apabila beberapa pemain mengalami kekejangan.

Adakah cuaca panas terik beraksi jam 2 petang mampu menjadi kelebihan buat skuad hoki remaja negara ketika menentang Australia, esok?

“Tapi itu bukan alasannya dan saya harap pemain tahu, apabila beraksi di pentas antarabangsa, physical is very demanding.”

Untuk rekod, Malaysia meraih tiga mata selepas mengatasi Chile 7-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan A, dan Australia mencatat kemenangan dengan jumlah jaringan sama ke atas pasukan dari Amerika Selatan itu pada Rabu.