SPEEDY Tigers ke Bhubaneswar-Rourkela untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2023, dengan lebih keyakinan apabila kembalinya seorang lagi “flicker” berpengalaman, Muhammad Shahril Saabah.

Selepas terlepas dua kejohanan utama akibat kecederaan, penyerang skuad hoki lelaki negara ini, berharap penampilan semulanya mampu mencetuskan impak kepada pasukan bagi menghasilkan keputusan positif pada setiap perlawanan, sepanjang kejohanan berlangsung 13 hingga 29 Januari ini.

Shahril, 28, terpaksa diketepikan daripada skuad negara ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah di Perak dan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, bulan lalu dan awal bulan ini, menjelaskan dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia menampilkan persembahan terbaik untuk membawa cabaran Malaysia di India.

Lengkap senarai 18 + 2 pemain kebangsaan mewakili negara ke kempen Piala Dunia Hoki 2023 yang berlangsung di Bhubaneswar-Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari.

Katanya, dia dan rakan sepasukan mahu membuktikan betapa penyertaan Malaysia pada kempen Piala Dunia kali ini bukan sekadar pelengkap kuota dan tekad untuk memperbaiki pencapaian dalam dua edisi terakhir.

“Selepas dua bulan berehat, saya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Menerusi latihan fizikal, sesi di gimnasium dan aksi di atas padang, semuanya berjalan dengan baik dan saya bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan.

“Pada Piala Dunia pertama saya (2014) kami menduduki tempat terakhir (12) dan edisi terakhir Piala Dunia (2018) pula kami di kedudukan kedua terakhir (15). Jadi, kami tidak mahu penyertaan kami kali ini sekadar melengkapkan kuota sebaliknya berharap dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik lagi,” katanya, yang akan membuat penampilan ketiga di Piala Dunia tahun ini.

Kehadiran semula Shahril ke daslam skuad bimbingan A.Arul Selvaraj amat penting, menambah lagi variasi penyerang.

Pada saingan Piala Dunia kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile dan juara tiga kali, Belanda.

Skuad negara yang berada di kedudukan ranking ke-11 dunia akan menghadapi dua aksi peringkat kumpulan di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di Piala Dunia adalah mengakhiri saingan di kedudukan keempat di laman sendiri pada edisi 1975.

Jadual Perlawanan membabitkan Malaysia di peringkat Kumpulan C

14 Januari

Malaysia mln Belanda, 5.30 ptg (Std Hoki Birsa Munda, Rourkela)

16 Januari

Malaysia mln Chile, 3.30 ptg (Std Hoki Birsa Munda, Rourkela)

19 Januari

Malaysia mln New Zealand, 3.30 ptg (Std Hoki Kalinga, Bhubaneswar)

Nota: Semua perlawanan waktu Malaysia.