MELEPASI sasaran awal ke separuh akhir, kini Speedy Tiger perlu melepasi cabaran Ireland bagi memburu tempat ke final Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2022, yang sedang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Sedar cabaran yang dibawa pemain Ireland cukup kritikal kerana dibarisi pemain yang berpengalaman di Liga Belanda dan Belgium, ketua jurulatih A Arulselvaraj berkata, barisan pemainnya juga mempunyai kelebihan yang dimiliki pasukan lawan.

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A Arul Selvaraj mahu pemain memanfaatkan kelajuan dan hantaran tepat, untuk mengatasi Ireland.

Katanya, skuad negara kini berada di tahap terbaik, selepas perlawanan pertama yang menyaksikan mereka tewas kepada Korea Selatan.

“Ireland bergantung kepada kekuatan individu, manakala pemain kita memiliki kelajuan yang mampu memerangkap mereka.

“Bagaimanapun kita tidak memandang rendah cabaran mereka yang meraih mata maksima, sembilan mata hasil tiga kemenangan di peringkat kumpulan.

“Tapi saya gembira kerana pasukan kini memiliki momentum dengan kemenangan ke atas Kanada dan Jepun,” kata Arul.

Faizal Saari juga berpengalaman beraksi di Liga Belanda.

Tambahnya, beraksi pada jam 1.30 petang waktu tempatan, turut memberi kelebihan pemain negara, kerana sudah biasa berlatih di bawah terik matahari.

Semalam, Speedy Tiger menang 5-1 ke atas Jepun pada perlawanan terakhir kumpulan B, membolehkan skuad negara layak ke separuh akhir, sebagai naib juara, di belakang Korea Selatan.

Ireland pula ke separuh akhir sebagai juara kumpulan A, selepas mencapai kemenangan ke atas Perancis, Pakistan dan Afrika Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN : Speedy Tigers selesa bermain di altitud tinggi

Kejohanan ini penting buat skuad negara melakukan persiapan menjelang aksi Piala Dunia di Bhubaneshwar dan Roukela, India Januari depan.

Selain itu, jika muncul juara Piala Negara-Negara FIH, skuad kebangsaan layak beraksi ke Pro League FIH musim 2023/2024.