SKUAD hoki remaja lelaki negara meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Piala Remaja Asia 2023, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir yang akan berlangsung Rabu depan, biarpun masih berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan.

Kemenangan 3-1 ke atas Korea Selatan itu, mengesahkan kemaraan skuad negara namun Young Tigers perlu menang ke atas tuan rumah, Oman pada perlawanan terakhir kumpulan B, pada Isnin.

“Pujian buat pemain saya yang Berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan saya gembira kerana pukulan sudut penalty kita cukup efektif dengan nisbah jaringan 60 peratus,” kata ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhammad Amin Rahim.

Menurutnya, skuad negara memperoleh lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya.

Tiga jaringan pasukan negara dijaringkan Perabu Tangaraja pada minit ke-11, Shahmie Irfan Suhaimi (m54) dan Mughni Mohamad Kamal (m57), manakala gol saguhati Korea Selatan dijaringkan Park Geonwoo menerusi jaringan padang.

Prestasi dipamer pemain itu melegakan Amin: “Kesungguhan pemain… dalam cuaca sebegini saya puji, ditambah dengan mereka keletihan baru sahaja bermain di Sukan Sea dan memberi aksi terbaik kali ini.”

Keputusan perlawanan terakhir bakal menentukan siapa bakal muncul juara kumpulan B dan bakal menentukan siapa lawan di separuh akhir nanti.

Ketika ini, calon lawan di separuh akhir adalah Pakistan dan India yang berada di dua kedudukan teratas kumpulan A, selepas dua perlawanan.