PASUKAN hoki remaja lelaki negara, gagal menepati sasaran buat kali kedua di Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023, apabila tewas kepada Belgium 5-3 menerusi penentuan penalti shoot-out, perlawanan penentuan kesembilan hingga 12.

Selepas gagal menepati perancangan ke suku akhir, sasaran baharu menamatkan saingan di kedudukan kesembilan tidak menjadi kenyataan selepas kekalahan kepada Belgium.

Lambat panas menyaksikan skuad negara ketinggalan pada dua suku pertama, biarpun dianugerahkan empat pukulan sudut penalti.

Begitupun, kebangkitan dipamerkan selepas ketinggalan dua gol menyebabkan Muhammad Amin Rahim, memuji pemainnya yang menampilkan aksi menyerang dan bertahan yang terbaik sepanjang kejohanan ini.

“Biarpun tewas saya kena bagi setinggi pujian kepada pemain, sejak daripada awal saya menaruh kepercayaan kepada pasukan saya. Mereka pamerkan aksi terbaik sepanjang 60 minit menentang Belgium. Kita tetap menyerang biarpun ketinggalan 0-2.

“Kita buat kebangkitan, betul kita tidak dapat sempurnakan pukulan sudut penalti tetapi gol penyamaan menerusi penalti stroke (Harris) terhasil menerusi gerakan daripada pukulan sudut penalti dan empat pukulan sudut penalti lain juga menepati sasaran.

“Kalau kita dapat menyempurnakan empat pukulan sudut penalti awal, kita sudah pasti berada di hadapan. Bagaimanapun, semangat pemain tidak luntur dan bangkit untuk terus berjuang dan mereka buktikan segalanya di atas padang,” kata Amin.

Ditanya sama ada aksi menentang Belgium adalah aksi terbaik anak-anak buahnya, Amin mengakui, aksi menentang Belgium adalah yang terbaik, namun segalanya sudah terlambat kerana Malaysia sekadar berpeluang merampas kedudukan ke11 atau ke-12.

Kekalahan kepada Belgium menyaksikan skuad Young Tiger akan beraksi dalam perlawanan tempat ke-11 dan ke-12 esok bertemu sama ada Afrika Selatan atau New Zealand.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Dunia Remaja adalah tempat keempat sebanyak tiga kali bermula edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India.