HATRIK Perabu Tangaraja membantu skuad hoki remaja negara menang besar ke atas Uzbekistan pada perlawanan pertama kumpulan B, saingan hoki Piala Remaja Lelaki Asia yang berlangsung di Salalah, Oman.
Tiga jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh, sembilan dan 18 itu, memperlihatkan sisi berbeza Perabu, yang kali pertama meledakkan jaringan pada penampilan antarabangsa ketiga, selepas mewakili negara pada aksi Piala Sultan Johor 2022 dan Sukan Sea Kemboja lalu.
Bagaimanapun, hasrat melihat pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim itu melakukan clean sheet tidak tercapai apabila pasukan lawan berjaya mendapatkan gol pada lewat perlawanan.
Terdahulu, tampil dengan impian besar selepas bermain di pentas senior iaitu Sukan SEA Kemboja, skuad negara cemerlang dengan dua jaringan Perabu yang menyempurnakan pukulan sudut penalti membolehkan Malaysia mendahului 2-0 pada minit kesembilan, sebelum jaringan Alfarico Lance Liau Jr mengubah kedudukan 3-0 untuk suku pertama menerusi jaringan padangnya pada minit ke-12.
Bersambung suku kedua, Perabu sekali lagi cemerlang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-18 disusuli jaringan Shahmie Irfan Suhaimi (m26) dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (m27) untuk skuad negara selesa 6-0 di hadapan pada separuh masa pertama.
Namun, pesta jaringan yang diharapkan mula perlahan, apabila hanya satu gol dihasilkan pemain negara pada suku ketiga, menerusi jaringan padang Mughni Mohamad Kamal pada minit ke-43, untuk kedudukan 7-0.
Kedudukan bertukar 8-0 apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-52, sebelum Shavkatjon Kakhramonov menjaringkan gol sagu hati Uzbekistan pada minit ke-55, sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 8-1.
Pemain negara mendapat rehat sehari sebelum kembali beraksi pada Khamis, menentang Bangladesh.
“Secara keseluruhan, pemain bermain dengan baik, ada jaringan padang dan pukulan sudut penalti.
“Pemain menyempurnakan empat gol daripada 12 pukulan sudut penalti diperoleh, iaitu 40 peratus dan itu agak kurang baik namun kita juga berjaya melakukan empat jaringan padang, cuma satu bolos menampakkan sedikit kelekaan pada jentera pertahanan,” kata Amin, mengulas mengenai perlawanan pertama itu.
Tambahnya, jaringan padang yang diperoleh Uzbekistan di lewat permainan itu terhasil daripada serangan balas pantas pukulan sudut penalti yang diberi kepada pasukan negara, dan hal itu perlu diberi perhatian serius, menjelang perlawanan seterusnya menentang Bangladesh.