PENGENDALI skuad hoki remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berharap perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Pakistan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC), malam ini dapat ditamatkan dengan baik.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya bakal menjanjikan detik yang mendebarkan buat skuad Young Tigers bangkit apabila sudah ditimpa kekalahan dua kali berturut-turut dengan New Zealand dan India.

Menurut Amin, aksi sebelum ini bersama pasukan India sepatutnya perlu mencuri satu mata tetapi hajatnya tidak kesampaian maka perjuangan tersebut akan diteruskan lagi ketika perlawanan berdepan Pakistan.

“Apa jua perkara, kita akan fokus untuk ke kempen hoki Piala Dunia Remaja, Disember nanti namun jika menang dengan Pakistan juga adalah satu perkara yang baik.

“Setidaknya kita telah lakukan yang terbaik untuk SOJC kali ini dan cuba menamatkannya di kedudukan yang terbaik,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Amin juga menyifatkan bahawa tempoh rehat dua hari sebelum perlawanan menentang Pakistan ini amat penting buat beberapa pemainnya menjalani waktu rehab dengan baik.

“Kita juga harapkan kapten pasukan, Faris Harizan dan Wan Najmie Ahmad Dzaib dapat beraksi dengan penuh yakin dan bersemangat semula untuk aksi malam ini,” katanya.

Untuk maklumat, perlawanan malam ini antara Malaysia dan Pakistan bakal berlangsung tepat jam 8.35 malam di Stadium Hoki Taman Daya dan difahamkan peluang skuad untuk ke pentas separuh akhir agak tipis memandangkan sudah tewas dalam dua aksi berturut-turut.