PENGURUS skuad remaja kebangsaan, I. Vikneswaran menilai bahawa edisi ke-11 Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor akan menjadi ujian penting bagi Young Tigers untuk mendepani pasukan lawan yang bukan calang-calang.
“Kita mempunyai pasukan yang sangat kuat bersaing dalam SOJC dan pengalaman di sini akan memberi manfaat kepada para pemain menjelang Piala Dunia pada bulan Disember.
“Pemain-pemain perlu beraksi dengan baik serta dapat mengekang New Zealand dalam perlawanan pembukaan mereka.
“Ini adalah pertandingan yang sangat kompetitif dengan tujuh dari lapan pasukan yang bersaing di sini akan berkemungkinan bersaing dalam Piala Dunia Remaja bulan Disember.
“Jelas bahawa pengalaman ini memberi makna amat besar bagi kesemua pasukan,” ujar Vickneswaran.
Untuk rekod, pasukan remaja Malaysia pernah kalah 6-2 kepada Pakistan dalam separuh akhir Piala Asia Remaja di Oman dan akhirnya berada di tempat keempat selepas tewas 2-1 kepada Korea Selatan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Pasukan New Zealand pula akan membuat penampilan ketujuh mereka dalam kejohanan ini dan berharap untuk memenangi gelaran untuk kali pertamanya.
Kejayaan terbaik New Zealand dalam kejohanan Piala Sultan Johor ini adalah berjaya menduduki tempat keempat pada tahun 2014.
Sementara itu, baru-baru ini juga skuad remaja Malaysia juga telah melakukan perlawanan persahabatan menentang dengan pasukan Great Britain yang berakhir dengan keputusan seri 3-3.
“Kami tertinggal 2-0 dalam suku pertama tetapi mendahului 3-2 dalam suku keempat sebelum membenarkan Great Britain menyamakan jaringan pada minit terakhir.
Ia adalah perlawanan yang baik untuk kedua-dua pasukan dan secara keseluruhan, kami berada di landasan terbaik untuk menentang New Zealand dalam pertemuan pertama nanti,” ujar beliau.