KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Johor yang akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor bermula 27 Oktober  bakal menjanjikan detik yang sengit buat kelapan-lapan pasukan yang akan bertanding.

Pada sidang media pra-perlawanan tersebut, Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA) Datuk Majid Manjit Abdullah menyatakan bahawa tujuh daripada lapan pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor akan memanfaatkan aksi ini sepenuhnya menjelang kempen Piala Dunia Remaja, Disember nanti.

Menurut beliau, kejohanan ini juga dapat dianggap sebagai sesi pemanasan badan terutamanya untuk Malaysia dan juga negara-negara lain yang layak untuk ke Piala Dunia Remaja seterusnya menilik kemampuan serta kekurangan yang ada pada pasukan lawan.

“Tahun ini pula bertambah bilangan pasukan yang bertanding dalam Piala Sultan Johor iaitu daripada enam ke lapan pasukan kerana menuruti permintaan negara-negara luar yang ingin turut bersama dalam pertembungan ini.

“Secara tidak langsung, kesemua pasukan ini akan dapat menilai kemampuan pasukan mereka sendiri sebelum ke Kempen Piala Duia Remaja, Disember nanti,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Sementara itu, pengurus skuad remaja kebangsaan I.Vikneswaran menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memberi sebarang tekanan terhadap pasukannya dan masing-masing jelas dengan matlamat iaitu untuk beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan ini.

Vikneswaran turut menjelaskan bahawa dua pemain yang sedang mengalami kecederaan itu mungkin akan memberi sedikit kesan terhadap pasukan tetapi ianya tidak dipandang sebagai satu alasan untuk tidak beraksi dengan baik di atas padang.

“Apapun, kita datang ke Piala Sultan Johor ini pastinya untuk menang bukan untuk kalah dan fokus utama adalah supaya mereka dapat buat yang lebih baik untuk perlawanan pertama esok.

“Untuk senarai pemain yang akan ke kempen Piala Dunia Remaja, secara rata-rata ini (Piala Sultan Johor) merupakan struktur pemain yang akan bermain Disember nanti,” jelasnya kepada pihak media.