KETUA jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Harfizi Baharom mendedahkan pasukannya melakukan satu perubahan besar iaitu dengan menggunakan khidmat pemain lokal sepenuhnya dalam kejuaraan Piala Sumbangsih dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.
Perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung pada 7 Februari 2024 akan menyaksikan pertembungan antara pasukan juara bertahan, THT bertemu dengan skuad Tenaga Nasional Berhad.
Bagaimanapun, bekas jurulatih hoki Negeri Selangor itu yakin dengan kekuatan pasukannya walaupun tidak lagi mempunyai sentuhan daripada pemain import Korea Selatan.
“Saya yakin 100 peratus dengan pemain-pemain yang ada dan dari situ, kita boleh mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih.
“Satu pembaharuan yang kita lakukan iaitu berbeza dengan pasukan TNB dimana kita memakai pemain lokal sepenuhnya untuk saingan tahun ini.
“Hal ini kerana, kita lebih fokus untuk membangunkan pemain tempatan dan ingin beri peluang kepada pemain remaja untuk bersaing dengan pemain senior atau berpengalaman,” ujar beliau dalam sesi sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, jurulatih pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu Nor Saiful Zaini Nasiruddin pula menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan satu pembelian yang terbaik untuk membantu menguatkan lagi pasukan musim ini.
Saiful Zaini berkongsi bahawa pemain import dari Korea Selatan iaitu Jang Jong-hyun akan menambah sengatan dalam pasukannya untuk saingan liga musim 2024 selepas menjadi tunjang utama buat pasukan Terengganu sebelum ini.
“Kita ambil Jang kerana cara dia bermain itu dilihat berbeza. Kebolehannya dalam menghantar bola ke semua arah sama ada kiri dan kanan itu telah menonjolkan perbezaan dan kualiti dalam dirinya.
“Jadi, sedikit sebanyak ianya dapat membantu pasukan kami walaupun kini usianya mencapai 40 tahun, itu merupakan pembelian terbaik untuk tahun ini,” katanya.
Untuk rekod, THT telah berjaya meraih kejuaraan pada aksi piala sumbangsih tahun lalu selepas menumbangkan TNB 3-1.
Pencapaian terbaik mereka tahun lalu dengan meraih gelaran treble iaitu juara liga, juara TNBMHL dan Piala Sumbangsih selain turut bergelar juara liga pada 2022 dan 2023 akan diburu semula untuk aksi saingan musim ini.