PENGENDALI skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini akui bahawa dirinya masih tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun telah merampas gelaran juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL) pada Rabu.

TNB yang muncul sebagai pemenang berjaya menidakkan kekuatan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) dan menyaksikan keputusan 3-1 menerusi penentuan penalti apabila terikat 2-2 selepas tamat 60 minit perlawanan.

Walau bagaimanapun, momentum pasukan TNB yang tidak memberangsangkan telah mencetuskan rasa enggan berpuas hati oleh jurulatihnya.

“Saya akui ini permulaan yang baik dengan memenangi Piala Sumbangsih tetapi saya sangat tidak berpuas hati dengan corak permainan.

“Banyak peluang untuk kita jaringkan gol tetapi dibazirkan begitu sahaja.

“Dengan keadaan ramai pemain wakil Malaysia, mereka masih tidak dapat beraksi dengan baik dan saya juga tidak tahu mengapa, terutama dari segi menjaringkan gol.

“Saya rasa ini bukan corak sebenar permainan TNB dan kita akan cuba mengorak langkah dalam perlawanan seterusnya,” ujar Nor Saiful.

Sementara itu, pasukan wanita iaitu Malaysian University pula telah berjaya menepis kehebatan Negeri Sembilan apabila mereka juga menang 3-0 menerusi penentuan penalti.

Kemenangan itu merupakan satu kejayaan besar buat mereka apabila sasaran untuk mendapat piala yang diidamkan telah berjaya direalisasikan hasil usaha para pemain dan jurulatih.