TIADA apa yang lebih bermakna buat jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj selain membawa Malaysia layak ke Piala Dunia Hoki 2023 di India.
Oleh itu, Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta pada 23 Mei hingga 1 Jun depan sudah pasti menjadi medan terbaik untuk skuad kebangsaan muncul tiga pasukan terbaik sekaligus layak ke Piala Dunia untuk dua edisi berturut-turut.
Ketika ditanya FLASH SUKAN mengenai persiapan pasukan sebelum berlepas ke Jakarta, Arul mengatakan semuanya sudah bersedia dan misi layak ke Piala Dunia adalah satu-satunya sasaran buatnya dan skuad negara.
“Segalanya sudah bersedia dan layak ke Piala Dunia adalah sasaran kami yang utama,” kata Arul sebelum memulakan latihan harian di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Malaysia akan beraksi dalam Kumpulan B di Piala Asia bersama-sama Korea Selatan, Bangladesh dan Oman dan dijangka mudah melepasi peringkat kumpulan sekaligus semakin hampir ke Piala Dunia.
Dengan India yang sudah layak ke Piala Dunia sebagai hos, peluang pasukan lain terutama Malaysia, Pakistan, Jepun dan Korea Selatan menjadi lebih terbuka dan dilihat tidak membebankan pasukan.
Sebanyak 16 pasukan akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia tahun depan dengan 13 pasukan sudah mengesahkan tempat manakala tiga wakil Asia akan diketahui pada Kejohanan Piala Asia ini nanti.
Selain India sebagai tuan rumah, Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Wales turut layak sebagai wakil Eropah manakala Argentina dan Chile mewakili benua Amerika Selatan selain Afrika Selatan layak sebagai wakil tunggal Afrika manakala Australia dan New Zealand bakal membawa cabaran Oceania.