SKUAD remaja lelaki negara mencatat rekod 100 peratus kemenangan dalam semua empat siri perlawanan persahabatan menentang Western Australia.

Pada perlawanan terakhir pada petang Sabtu, Young Tigers diberi tentangan sengit sepanjang 60 minit perlawanan sebelum berjaya meraih kemenangan 4-3.

Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim tidak dapat menyembunyikan kegembiraan hasil keputusan positif dicapai anak didiknya dalam semua empat perlawanan sejak Selasa lalu.

Begitupun, dia menagih usaha pemain untuk meningkatkan lagi prestasi selepas ini.

Dalam gembira, Amin tetap gusar dengan penyudah tumpul selain benteng pertahanan mudah terlerai dan tidak berorganisasi yang dipamerkan pada perlawanan terakhir.

“Kita menang siri ini tetapi secara keseluruhan perlawanan hari ini kurang baik berbanding tiga aksi terdahulu. Saya buat banyak pertukaran pemain sebab itu nampak ramai muka-muka baharu.

“Saya perlu beri peluang yang sama kepada semua pemain dan kami masih berjaya keluar dengan kemenangan. Segala kelemahan yang dipamerkan akan beri ruang kepada saya untuk perbetulkan dalam fasa persediaan sekarang.

“Saya gembira kerana proses persediaan para pemain berjalan baik. Boleh nampak pemain bertambah yakin setiap kali turun ke padang,” katanya, selepas tamat perlawanan.

Empat gol skuad negara dalam perlawanan itu diperoleh menerusi dua jaringan Muhammad Harris Iskandar Osman dan masing-masing satu daripada Saiful Shahril Saiful Bahri serta Muhamad Salman Sudirman.

Selepas ini, Young Tigers akan bermain aksi persahabatan dengan pasukan senior kendalian A.Arul Selvaraj pada setiap Sabtu sebelum berlepas menghadapi siri Jelajah Eropah yang dijangka bulan depan.

Keputusan Perlawanan empat siri persahabatan

Malaysia vs Western Australia

Perlawanan 1:  Malaysia 3  –  1  Western Australia

Perlawanan 2:  Malaysia 3  –  1  Western Australia

Perlawanan 3:  Malaysia 7  –  3  Western Australia

Perlawanan 4:  Malaysia 4  –  3  Western Australia