SKUAD hoki kebangsaan lelaki bakal berdepan lima perlawanan persahabatan antarabangsa di Perth, Australia sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia yang dijadualkan di Jakarta Mei depan.
Speedy Tigers dijadualkan bertemu skuad kebangsaan Australia dengan lima aksi ujian dalam tempoh tujuh hari bagi menguji mentaliti pemain untuk bermain lebih laju dan lebih pantas membuat keputusan.
Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj yakin dengan sasaran empat tempat teratas di Piala Asia untuk layak ke Piala Dunia.
“Sasaran adalah sasaran tetapi saya yakin para pemain juga tahu bahawa mereka perlu menamatkan cabaran di empat tempat teratas untuk layak ke Piala Dunia.
“Kita memilih Australia kerana mereka adalah pasukan nombor satu dunia dan ia akan memberikan gambaran sebenar tentang kedudukan pasukan kita sebelum menentang pasukan dari Asia,” ujar Arul kepada media pada Majlis Berbuka Puasa dan sidang media Konfederasi Hoki Malaysia pada Rabu.
Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal meletakkan sasaran wajib layak ke Piala Dunia dengan memastikan skuad negara layak ke peringkat separuh akhir Piala Asia.
Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 bakal berlangsung di Jakarta bermula 23 Mei hingga 1 Jun.
Selain Malaysia kejohanan ini disertai India, Pakistan, Korea Selatan, Jepun, Oman, Bangladesh dan tuan rumah Indonesia dengan tiga pasukan terbaik kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia 2023 yang dijadualkan berlangsung di India.
Selain itu, pasukan hoki wanita pula sedang diperkasakan untuk mencapai podium di Sukan Asia 2026 dan Subahan menjelaskan bahawa KHM akan memastikan mereka menyertai pelbagai ‘test matches’ sepanjang dua tahun akan datang.
“Kami akan memastikan skuad wanita akan menyertai lebih banyak ‘test matches’ dan beberapa kejohanan dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai persediaan untuk mencapai sasaran podium pada Sukan Asia 2026 nanti.”