HARAPAN yang disandarkan kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, diibaratkan menggali kubur sendiri buat skuad hoki lelaki negara, apabila bukan hanya gagal mencapai kemenangan besar seperti dihajatkan, malah menamatkan saingan kumpulan tanpa kemenangan, ketika kemarau beraksi di pentas Olimpik terus berpanjangan.

Tidak dinafikan aksi menghiburkan dipamerkan The Speedy Tigers ketika menentang Pakistan, yagn terikat 3-3 pada aksi dramatik kumpulan A di Muscat, Oman.

Keputusan seri itu meletakkan skuad negara di tangga tercorot Kumpulan A selepas sekadar meraih satu mata daripada tiga perlawanan dalam aksi Kelayakan Sukan Olimpik.

Melihat China dibelasah Great Britain 6-0, peluang skuad hoki negara ke separuh akhir terbuka luas dan perlu menundukkan Pakistan dengan jaringan besar tetapi hajat tak kesampaian. | Foto FIH

Terdahulu, anak-anak buah Arul Selvaraj tumpas dalam dua perlawanan awal iaitu dikejutkan China 3-2 sebelum kecundang kepada Great Britain 4-1 dalam perlawanan kedua.

Sebelum turun menentang Pakistan, peluang skuad negara mengiringi Great Britain ke separuh akhir terbuka selepas wakil Eropah itu membelasah China 6-0.

Malah aksi menentang Pakistan, bermula dengan baik apabila skuad negara berada di hadapan pada minit ke-20, menerusi jaringan padang Fitri Saari.

Pakistan enggan melepaskan peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris. | Foto FIH

Bagaimanapun, Pakistan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan mengikat kedudukan menjadi 1-1 sebelum Speedy Tigers menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1 selepas Azrai Abu Kamal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, Pakistan tidak menunggu lama kembali mengikat keududkan 2-2 apabila Ammad Butt menjaringkan gol padang pada minit ke-33.

Tersentak dengan gol itu, anak-anak buah Arul memperkemaskan rentak permainan dan berjaya untuk kembali berada di hadapan pada minit ke-40 menerusi jaringan padang Firhan Ashari.

Pemain Paksitan berusaha mendapatkan jaringan penyamaan kerana keputusan seri sudah cukup buat mereka mengiringi Great Britain ke separuh akhir sekali gus menbyingkir skuad bimbingan Arul. | Foto FIH

Pakistan yang turun untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri berjaya merealisasikan impian itu apabila Waheed Ashraf Rana berjaya menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-52.

Malah mereka memperoleh lima pukulan sudut penalti pada tiga minit terakhir perlawanan.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan skuad negara gagal dalam misi meraih slot ke Sukan Olimpik Paris, manakala Pakistan mengiringi Great Britain untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

Kegagalan Speedy Tigers itu menyaksikan kemarau skuad hoki Malaysia berpanjangan untuk beraksi pentas Olimpik selepas kali terakhir beraksi di pentas temasya terbesar dunia itu di Sydney 2000.

Selepas ini, Malaysia akan turun menentang Chile dalam perlawanan klafikasi tempat kelima hingga kelapan.