SKUAD hoki wanita kebangsaan kembali ke landasan, apabila meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A temasya Sukan Asia Hangzhou selepas menewaskan Singapura 8-1.

Kemenangan itu sangat penting buat jurulatih negara, Nasihin Nubli Ibrahim untuk dijadikan bekalan berdepan Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selasa ini, selepas tewas kepada India 0-6 dalam Jumaat lalu.

“Menentang Singapura tidak mudah sebab banyak peningkatan yang mereka tunjukkan dan sebenarnya bagus untuk kita dapat berdepan lawan seperti ini kerana ia akan menjadi persediaan yang baik sebelum turun berdepan lawan lebih sukar.

“Saya gembira banyak jaringan dihasilkan hari ini selain gol padang kita juga ada gol dari pukulan sudut penalti dan ia bagus untuk pasukan,” katanya.

Malaysia membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Wan Norfaiezah Md Saiuti minit kesembilan.

Skuad negara terus mengganas meledakkan gol enam minit kemudian menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor dengan Nuraini Abdul Rashid meletakkan Malaysia tiga gol di depan.

Nurmaizatul Hanim Syafi Fuad memastikan kedudukan Malaysia lebih selesa apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit 31.

Bagaimanapun kubu negara dibocori pada minit 34 apabila Singapura mendapat gol pertama menerusi Leck Gene Yuan Jie.

Malaysia terus mengganas apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar menjaringkan gol minit ke-37 diikuti Khairunnisa A. Mohd Sharuddin (48) dan Hannis Nadiah Onn (54 dan 59).

Kini skuad negara menghuni tangga ketiga, di belakang india dan Korea Selatan.