PASUKAN hoki wanita meninggalkan Temasya Sukan Asia ke-19, di kedudukan kelima keseluruhan, selepas berjaya mengatasi Thailand 2-1 pada perlawanan penentuan tempat kelima di Stadium Gongshu Canal Sports Park.
Pencapaian itu sekali gus membolehkan skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim, mencapai sasaran ditetapkan, iaitu kedudukan kelima.
Begitupun, Thailand mendahului seawal minit ketujuh perlawanan apabila Kunjira Inpa menjaringkan gol padang, sebelum Hanis Nadiah Onn menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti, untuk suku pertama berakhir 1-1.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat suku ketiga, namun pada suku keempat, pasukan negara mula menguasai perlawanan dan akhirnya gol kemenangan dihadirkan menerusi jaringan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-56, sekali gus mengesahkan kemenangan.
Pencapaian skuad wanita ini boleh dianggap baik berikutan pasukan kali ini rata-rata dibarisi pemain muda.
“Syukur ini kemenangan yang ditunggu-tunggu pasukan wanita. Sebelum perlawanan lagi kita menjangkakan Thailand akan memberi saingan baik dan mereka berjaya menjaringkan gol awal.
“Namun tekanan yang pemain berikan akhirnya membuahkan hasil, kita meraih jaringan kemenangan,” kata Nasihin.
Beliau memuji barisan pemain senior dalam pasukan yang memberi persembahan terbaik sepanjang kejohanan.
Pencapaian terbaik skuad wanita di Sukan Asia adalah pada edisi 1982 di India, ketika meraih pingat gangsa, sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat pada Temasya Seoul, 1986.