SKUAD hoki wanita negara ‘wajib’ menang ke atas Thailand pada perlawanan terakhir saingan round robin Trofi Juara-Juara Asia  (ACT) wanita di Ranchi, India, bagi mengelak maruah hoki negara terus tercalar.

Selepas hanya meraih satu mata dengan mengikat Korea Selatan 1-1, pasukan negara menerima kekalahan ketiga semalam apabila menjadi belasahan China dengan empat gol tanpa balas.

Ketua jurulatih pasukan wanita, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, persiapan dari segi pukulan sudut penalti akan ditingkatkan dalam usaha memburu kemenangan pertama kerana skuad bimbingannya akan bertemu negara tetangga itu dua kali.

Skuad hoki wanita tewas kali ketiga pada saingan Trofi Juara-Juara Asia di Ranchi, India. |FOTO AHF / Hockey India

“Bertemu Thailand, kami akan melakukan persiapan pukulan sudut penalti, kita tidak mahu hanbya berdisiplin ketika bertahan tetapi juga mahu menjaringkan gol dan memberikan kemenangan pertama di kejohanan ini,” kata Nasihin.

Terdahulu, skuad wanita tewas 0-4 kepada China dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh, Ranchi sebentar tadi.

Masih dibayangi kejayaan mengikat juara tiga kali kejohanan, Korea Selatan 1-1, skuad bimbingan Nasihin gagal meneruskan momentum itu ketika menentang China, yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022.

Pemain negara cuba mencabar China pada aksi Trofi Jaura-Juara Asia di Ranchi, India. |FOTO AHF / Hockey India

Pemain lawan, Zhong Jiaqi meledak hatrik untuk kem China bermula pada minit ke 16, 22 dan 51 sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Zou Meirong.

Kekalahan ini tidak mengubah kedudukan Malaysia dalam peringkat kumpulan apabila kekal berada di tangga kelima dengan satu mata.

Skuad wanita negara gagal menyerlah di Ranchi. |FOTO AHF / Hockey India

“Walaupun kita tewas 4-0, tetapi saya berasa para pemain sudah memberikan aksi yang terbaik, terutamanya pada separuh masa kedua, kita kehilangan Hanis (Nadiah Onn) kerana mengalami kecederaan. Situasi itu menyukarkan kami untuk membuat penggiliran kerana kami hanya mempunyai 15 orang pemain.”

Skuad negara akan membuat perhitungan terakhir esok menentang Thailand, yang kini turut bergelut untuk meraih sebarang mata.

Selepas menutup perlawanan peringkat kumpulan menentang Thailand, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada Sabtu, bagi penentuan tempat kelima dan keenam.