SKUAD hoki wanita kebangsaan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam Pusingan Kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol pada Ahad.

Selepas tewas 0-7 kepada tuan rumah, Sepanyol pada perlawanan pertama, anak-anak buah Nasihin Nubli tidak dapat mengekang kehebatan Kanada untuk tewas dengan keputusan 0-3.

Gol-gol Kanada dijaringkan oleh Sara McManus pada minit ketiga dan ke-45 manakala Thora Rae menambah gol kedua pada minit ke-22 sekaligus melenyapkan harapan Speedy Tigress ke Sukan Olimpik.

“Pemain menunjukkan permainan yang lebih baik daripada sebelum ini dan apabila menentang pasukan Kanada yang mempunyai pengalaman bermain di Piala Dunia, ianya adalah jurang terbesar yang perlu kami hadapi.

“Kami melakukan kesilapan yang membenarkan gol pertama Kanada dan kami gagal bangkit selepas itu. Mereka sudah bermain di Piala Dunia manakala pasukan kami masih dalam proses pembikinan,” kata Nasihin selepas perlawanan.

Malaysia akan melengkapkan aksi Kumpulan B menentang pasukan nombor tujuh dunia, Britain pada Selasa dan Nasihin menganggap ini adalah ujian terbesar buat skuad mudanya.

“Perlawanan ini akan menjadi ujian terbesar buat kami dalam kejohanan ini tetapi ianya penting sebagai pendedahan buat pemain kerana seperti yang saya katakan, saya sedang membina pasukan ini untuk masa hadapan,” jelasnya.

Selepas dua perlawanan, Malaysia masih gagal menjaringkan sebarang gol dan sudah melepaskan 10 gol untuk menduduki tangga terakhir Kumpulan B setakat ini.