TIDAK boleh selesa dan ‘besar kepala’ dengan hanya satu gelaran.
Demikian pesanan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ketika mengingatkan beregu lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri selepas muncul juara saingan Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow, Ahad lalu.
Pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 itu berkata, Hon Jian-Haikal mempamerkan peningkatan prestasi meskipun dalam tempoh singkat sejak digandingkan Ogos lalu.
Begitupun, jurulatih dari Indonesia itu bimbang sekiranya gandingan itu cepat berpuas hati dengan pencapaian dilakar ketika ini.
Katanya, seringkali terjadi sebelum ini, bahawa pemain Malaysia mudah lupa diri selepas sering dipuji susulan kejayaan yang dicapai mereka.
“Pencapaian Hon Jian-Haikal ketika ini positif dan ada negatifnya. Kalau biasa kita tengok pemain Malaysia ini kalau sering dipuji akan lupa diri.
“Ini yang saya risau, sering dipuji mereka juga akan jadi besar kepala,” katanya, ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM.
Bagaimanapun, dari segi positifnya, Rexy mengakui Hon Jian-Haikal prestasi dipamerkan cukup membanggakan terutamanya muncul juara di Lucknow dengan menewaskan pasangan ke-16 dunia, Akira Koga-Taichi Sato.
“Ia adalah satu peningkatan yang mendadak, daripada Cabaran Antarabangsa terus juara di kejohanan Super 300. Mereka jadi juara dengan menewaskan pasangan utama sejak dari pusingan kedua lagi, ini sesuatu yang positif.
“Namun, saya tidak mahu terlalu banyak memuji atau merasa puas dengan pencapaian mereka. Kalau kita sudah puas bermaksud kita sudah sampai kemuncaknya. Begitupun, saya gembira kerana beregu pelapis sudah boleh memberikan persaingan kepada pasangan utama kita,” katanya.
Menurut Rexy, Hon Jian-Haikal akan berdepan ‘ujian sebenar’ apabila mereka beraksi dalam kejohanan kedua berturut-turut di Masters Guwahati di Assam, India yang bermula hari ini, meskipun ia hanya bertaraf Super 100.
Hon Jian-Haikal akan membuka tirai saingan menentang wakil tuan rumah, Deep Rambhiya-Akhsan Shetty di pusingan pertama, esok.
“Saya harap mereka boleh kekal konsisten. Selepas jadi juara, orang pun sudah banyak puji dan letak harapan tinggi, di sinilah nanti yang akan menguji mereka.
“Sama ada mereka boleh kekal fokus dan berikan komitmen sepenuhnya. Saya harap mereka konsisten, bukan saja konsisten dari segi permainan tetapi juga dari aspek mereka berfikir dan cara mereka menjaga diri,” katanya.