LEGENDA bola sepak Jepun, Keisuke Honda mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak Kemboja dengan nota kekalahan selepas skuad Bawah 22 (B-22) Tahun mereka tewas kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Sukan SEA di Phnom Penh pada Rabu.
Tuan rumah menamatkan saingan Kumpulan A ditangga ketiga dengan empat mata hasil satu kemenangan keatas Timor Leste, satu keputusan seri dengan Filipina dan dua kekalahan kepada Myanmar dan juara kumpulan, Indonesia.
Honda yang mengemudi Kemboja sejak 2018 telah menyuntik semangat baharu dalam bola sepak negara itu terutama pembangunan pemain muda yang semakin meningkat namum masih belum cukup untuk melayakkan mereka ke separuh akhir temasya dwitahunan itu.
Skuad bola sepak Kemboja sebelum ini sering dianggap sebagai pasukan belasahan tetapi sentuhan Honda telah menyaksikan mereka semakin meningkat dengan corak permainan bola sepak moden dan kreatif.
Aksi bersahaja Honda di tepi padang sering menjadi sorotan lensa kamera namun apa yang lebih penting adalah bagaimana dia mengubah pemahaman bola sepak menjadikan Kemboja kuasa besar di Asia Tenggara.
Antara kejayaan terbesar Kemboja di bawah kendalian Honda adalah mendapat dua kemenangan ketika Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dengan menewaskan Filipina dan Timor Leste untuk berada di belakang Thailand dan Indonesia.