HONG KONG bakal menerapkan permainan gaya menyerang dalam aksi persahabatan berdepan skuad Harimau Malaya pada 1 Jun depan.
Perlawanan ini menjadi medan terbaik bagi kedua-dua pasukan bagi menyediakan skuad terbaik menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.
Jorn Andersen (gambar HKFA) yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih pada Disember miliki rekod baik ke atas Malaysia semasa bersama Korea Utara di sebalik menangan 4-1 pada saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand.
“Saya akan cuba membuat sedikit perubahan dan kami boleh bermain dengan gaya menyerang serta bertahan di garisan lebih tinggi.
“Kadang-kadang kami harus menekan pasukan lawan dan jangan membenarkan mereka kuasa kami dengan mudah.
“Itulah perkara diutamakan pada permulaan ini,” kata Andersen yang dipetik menerusi laporan media Hong Kong.
Selain Hong Kong, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Harimau Malaya akan bertemu Myanmar pada 27 Mei sebagai persiapan menjelang tiga aksi Kumpulan E pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, bermula 8 hingga 14 Jun 2022.
Turut bersaing dengan Malaysia dalam Kumpulan E adalah Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.