PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan sangat gembira apabila jaringan sulungnya sejak menyertai JDT telah membantu Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC, 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Hong Wan melepaskan rembatan padu dari jarak jauh pada minit ke-66 untuk menewaskan Kevin Ray Mendoza di gawang KL City sekaligus memecah kebuntuan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas berakhir babak pertama.
“Ianya satu perlawanan yang sukar. KL City menyukarkan kami dan mereka mempunyai beberapa peluang tetapi Syihan menyelamatkan kami. Saya rasa kami keluar pada separuh masa kedua dengan mentaliti untuk menang dan kami mempunyai lebih banyak peluang serta gol Bergson yang dibatalkan dan saya dapat rasakan yang gol akan hadir dan saya bernasib baik kerana saya merembat dan ianya masuk namun ia mungkin juga boleh dilakukan pemain lain.
“Saya menerima bola yang baik dari Afiq Fazail dan ianya membuka ruang kepada saya merembat. Saya bukanlah jenis yang sentiasa merembat tetapi kali ini saya mencuba dan saya beruntung kerana ianya masuk,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Ditanya FLASH SUKAN adakah dia layak bergelar Pemain Terbaik Perlawanan, Hong Wan dengan rendah diri mengatakan dia tidak berhak sebaliknya anugerah itu seharusnya menjadi milik penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
“Secara peribadi, saya tidak rasa saya layak untuk bergelar pemain terbaik perlawanan kerana Syihan lebih berhak selepas dia menyelamatkan kami dari ketinggalan 1-0. Saya gembira dengan jaringan itu dan bagi saya ini adalah usaha berpasukan namun saya masih rasakan Syihan lebih berhak,” jelasnya.
Pemain berusia 23 tahun itu juga gembira kerana penyerang utama JDT, Bergson Da Silva gembira dengan jaringan yang dilakukannya dan sangat beruntung memiliki rakan-rakan sepasukan yang sentiasa menyokongnya.
“Bergson adalah rakan sepasukan yang hebat.Dia adalah seorang yang bersemangat dan gembira serta banyak menyokong saya dan gembira kerana dia mahu meraikan jaringan bersama-sama.
“Saya bersyukur dengan rakan-rakan sepasukan dan jika kita lihat cara mereka meraikan jaringan itu, semua orang gembira dengan jaringan saya,” tambahnya.
Selain itu, bekas pelatih remaja Wolverhampton Wanderers itu juga merasa bertuah kerana memiliki pengurus yang sentiasa memberikan keyakinan kepadanya untuk beraksi selain mempercayai kemampuan dirinya.
“Esteban sangat baik dengan saya dan bertuah kerana sejak dia hadir, dia banyak berikan saya keyakinan dan peluang bermain untuk buktikan kemampuan. Saya bertambah baik dibawah kendaliannya kerana dia berikan keyakinan kepada saya untuk bermain cara permainan saya dan sangat beruntung kerana dia mempercayai saya,” katanya.