PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Nathaniel Shio Hong Wan berkongsi momen penuh kegembiraan selepas disahkan layak ke kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.
Hong Wan mengakui sebaik sahaja memasuki padang, perasaan gementar tetap ada kerana perlawanan ini cukup penting dan berprofil tinggi.
“Tetapi saya tetap bersedia, walaupun dalam masa sama ada rasa gementar dan takut buat kesilapan. Ia perlawanan yang sukar.
“Namun ianya bukan mengenai saya, tetapi adalah pasukan. Ia saat yang paling indah dalam karier saya,” jelas pemain berusia 22 tahun ini.
Jelas Hong Wan, kemenangan ini juga adalah berpunca daripada sokongan semua penyokong yang hadir ke stadium hari ini.
“Penyokong-penyokong semua sangat menakjubkan. Mereka sangat membantu kami dalam situasi perlawanan yang sengit ini.
“Mereka tidak meninggalkan kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hong memberitahu masih banyak lagi perlawanan selepas ini dan akan kembali dengan lebih baik.
“Sebelum itu kami akan meraikan kejayaan besar, enjoy dan rehat sekejap sebelum kembali,” tambah Hong Wan.