LAMBAT menempa kejayaan bukan bermakna tidak berpeluang mengecapi kejayaan selama-lamanya.

Begitulah pegangan pemain beregu campuran, Hoo Pang Ron yang dianggap ketinggalan berbanding rakan sebayanya, Chen Tang Jie yang sudah mengecapi pengalaman beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Pang Ron yang kini memahat nama bersama gandingan muda, Cheng Su Yin, selepas dipasangkan jurulath beregu campuran, Nova Widianto pada Oktober tahun lalu, mula memahat nama dalam barisan pemain ternama dunia, selepas berjaya menempatkan diri mereka ke tangga ke-24 ranking dunia.

Pang Ron, 26, berkata, sering dipasangkan dengan beberapa pasangan berbeza, dia tidak menolak perasaan kecewa hingga mahu berputus asa, membelenggunya namun berjaya bangkit.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin memberikan warna kepada badminton negara, apabila berjaya meningkatkan ranking ke kedudukan ke-24 dunia.

“Semua orang melalui fasa ini tetapi selepas bercakap dengan kawan-kawan dan keluarga, saya berjaya atasinya.

“Sudah tentu saya masih berjuang dan saya tidak pernah perlahankan usaha, selangkah demi selangkah kami tingkatkan prestasi.

“Kami sering berbincang dengan jurulatih untuk meningkatkan keupayaan diri,” kata Pang Ron apabila dibandingkan dengan Chen Tang Jie, yang sebaya dengannya namun kini berada di ranking kesembilan dunnia.

Untuk rekod, Tang Jie yang berpasangan dengan Ee Wei, meraih satu gelaran tahun ini iaitu Terbuka Korea, selain mara ke suku akhir Olimpik Paris 2024, turut memenangi tiga kejuaraan  sepanjang 2023, iaitu Cabaran Antarabangsa Iran Fajr, Terbuka Orleans dan Taiwan.

Justeru, Pang Ron dan Su Yin, 21, meletakkan sasaran untuk menamatkan musim 2024 dalam kelompok Top 20.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi penanda aras beregu campuran negara, ketika ini.

“Untuk tahun ini ada dua lagi kejohanan, iaitu Kumamoto Master Jepun dan Masters China, memang sukar untuk berada dalam Top 20, tapi kami akan cuba sebaiknya,” ujar Pang Ron.

Baginya, persaingan menjadi lebih sukar selepas mereka kini dipercayai mendapat perhatian beregu-beregu utama dunia: “Saya pasti perjalanan kami tidak akan mudah lagi kerana ramai sudah tahu kehadiran kami, mereka akan kaji permainan kami, jadi perjalanan akan lebih sukar tapi kami juga mahu meningkat dalam perbagai corak permainan.”

Sebelum ini, Pang Ron pernah bergandingan dengan Teoh Mei Xing dan mengecapi kejuaraan di Kejohanan Antarabangsa Malaysia 2022.

Manakala ketika berpasangan dengan Cheah Yee See, dia pernah meraih kejuaraan di Kejohanan Antarabangsa India dan Bangladesh 2019.