TERPANGGIL dengan isu prestasi Selangor FC yang hangat diperkatakan netizen dan penyokong setia mereka, Raja Isa Raja Akram Shah memberikan komen balas kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu pada Isnin.
Tegas bekas jurulatih Selangor B-19 dan B-17 (2000-2001), Raja Isa Raja Akram Shah sudah tiba masanya pasukan itu kembali bangun dari lena yang panjang bagi mengelak terus dirundung malang dan ditertawakan lawan.
“Salam Merah Kuning. Masanya untuk bangun dan bangkit dari tidur buat semua pemain jurulatih dan pasukan.
“Maruah sebagai bekas pasukan berstatus gergasi harus dipelihara. Jangan lagi dihina dan dipijak oleh orang luar.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Johan Kamal Hamidon. Hormatlah bendera Merah Kuning dan berikan persembahan yang terbaik untuk mendapat hormat peminat dan penyokong.
“Semoga Allah memberkati bola sepak Selangor,” ujarnya dihubungi Flash Sukan.
Raja Isa,56 tidak asing dalam belakang tabir Selangor kerana pernah menjawat Penasihat Teknikal Majlis Sekolah Sekolah Selangor MSSS B-17 dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Belia Selangor FA dan jurulatih Akademi FAM-Selangor serta terkini membimbing kelab Liga Perdana Bangladesh, Muktijoddha Sangsad Krira Chakra.
Dia memulakan kerjaya bersama Selangor FA sebagai jurulatih di bawah Pembangunan Belia bermula dari tahun 1995 sehingga 2002.
“Sebagai anak jati Selangor, saya berpandangan rombakan pemain perlu dilakukan termasuk pengurusan bagi musim hadapan.
“Habiskan sahaja perjalanan baki liga kerana Selangor telah menjamin tempat kekal di Liga Super 2023. Andai kata memenangi Piala Malaysia pun, perubahan ketara kena dibuat bagi bergelar pasukan terbaik di Malaysia.
“Saya tidak cakap ingin campur tangan apa yang berlaku dalam kem Selangor tetapi sebagai anak jati Selangor, pemain dan juga peminat saya rasa sesuatu perlu dilaksanakan bagi mengembalikan imej dan jenama pasukan seperti asal.
“Dua tahun lagi tempoh diperlukan Selangor jika mahu menyaingi Johor Darul Ta’zim sekarang. Sesi townhall bersama peminat juga diadakan. Kena ingat, kekuatan Selangor adalah pada penyokong. Ramai penyokong, kuatlah Selangor,” ujarnya yang dilahirkan di Ampang, Selangor.
Raja Isa pernah beraksi selaku pemain namun tidak lama apabila memutuskan meninggalkan lapangan dan memfokuskan kepada karier kejurulatihan sehingga ke hari ini.
Kemerosotan Selangor musim ini menerima kecaman hebat peminat termasuk berdepan pelbagai siri kekalahan yang tidak terduga.
Malah, posisi ketua jurulatih yang sebelum ini dipikul Michael Feichtenbeiner telah digantikan dengan Nidzam Jamil.