HOSPITAL Al Sultan Abdullah (Hasa) muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Staf UiTM Cawangan Selangor (KASSUS) 2023 yang julung kali diadakan melibatkan penyertaan staf di seluruh sistem UiTM Cawangan Selangor (UCS).

Hasa yang muncul juara keseluruhan bagi kejohanan edisi sulung berjaya menuai pungutan tujuh pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Penglibatan lebih 1,000 orang staf merangkumi pengurusan kontinjen dan atlet bagi program yang diinisiatifkan oleh Unit Sukan UCS ini bermula pada bulan lepas dan berakhir baru-baru ini.

Sebanyak sembilan acara sukan yang telah dipertandingkan seperti bola sepak 9 sebelah, bola jaring, bola tampar, dart, tenis, badminton, pingpong, karom dan petanque.

“UCS sedang dalam usaha merangka pelan bagi melaksanakan program-program sukan berbentuk kebersamaan, kemuafakatan, semangat ukhuwah dan kekitaan sekali gus menyasarkan peningkatan indeks keceriaan dan kegembiraan dikalangan staf.

“Program perintis ini dijangka diteruskan bagi tahun-tahun mendatang sebagai program tahunan di UCS,” kata kenyataan itu.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah KASSUS 2023 dirasmikan oleh Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Badrul Isa.

“Sukan ini bertujuan meraikan kejayaan para atlet dikalangan staf yang telah mewakili dan mengharumkan nama jabatan, fakulti dan kolej pengajian dalam acara yang dipertandingkan,” katanya.