MALAYSIA Airlines (MAS) bukan sahaja menjadi rakan penerbangan rasmi buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa skuad Harimau Malaya ke lokasi perlawanan tetapi juga memahami keselesaan para pemain sepanjang penerbangan.
Perjalanan pulang skuad kendalian Kim Pan Gon ke Kuala Lumpur dari Yangon telah menunjukkan sikap profesional dan hospitaliti terbaik dari MAS apabila menaik taraf kelas penerbangan tonggak pertahanan negara, Khuzaimi Piee atau Jimmy yang mengalami kecederaan ke kelas bisnes.
Ini dilakukan atas kebenaran pengurusan tertinggi MAS dan dengan kerjasama krew penerbangan selepas menyedari Khuzaimi mengalami kecederaan pada kaki dan perlukan ruang kaki yang lebih luas dan selesa supaya dia berasa lebih nyaman sepanjang perjalanan yang mengambil masa dua jam tiga puluh minit itu.
Perkara ini sangat dipuji kerana sikap kemanusiaan yang ditunjukkan oleh kesemua mereka yang terlibat dalam penerbangan itu memastikan Jimmy dapat berehat dan tidak membebankan kakinya yang masih dalam proses rawatan.
Turut berada dalam penerbangan itu adalah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sememangnya terkenal dengan sikap menjadi kebajikan para pemain yang berjuang membawa nama negara.
Bukan sahaja di dalam pesawat, malah Jimmy dan semua pemain telah dibantu wakil MAS sejak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon hingga tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai tanda hospitalilti syarikat penerbangan kebanggaan negara ini.
Ini jelas membuktikan MAS bukan sahaja hanya menyediakan laluan dan pesawat kepada skuad Harimau Malaya sebagai rakan kongsi malah turut memastikan keselesaan dan keselamatan kepada semua pemain dan pegawai sebagai tanda sokongan. Tahniah dan terima kasih Malaysia Airlines.