KEADAAN hujan sejak tengah hari sedikit menggangu sesi kelayakan Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) Pusingan Keempat di Litar Antarabangsa Sepang pada Sabtu.
Ini memaksa penganjur menunda sesi kelayakan hampir dua jam kerana keadaan litar yang basah dan jarak penglihatan yang kurang baik demi memastikan keselamatan para pelumba.
Sejurus sahaja sesi dimulakan kesemua pemandu keluar untuk menguji litar dan nyata memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang licin serta garisan perlumbaan yang berubah-ubah.
Bagi kategori perlumbaan ‘Stock Production’ SP2, pelumba pasukan R Engineering HRMT, Ishayet Hossain dan Andrea Cecchellero berjaya mencatat masa terpantas dengan catatan 2 minit 59.562 saat di litar sepanjang 5.54 kilometer itu.
Tempat kedua ketinggalan 0.172 saat adalah pelumba pasukan RWorks Riyoz Racing, Shinsuke Umeda dan Hiromasa Kitano manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba tempatan, Ian Wong dan Keifli Othman.
Bagi kategori Malaysian Touring Car (MTC SP2) pula, pelumba Tedco Racing, Mark Darwin terpantas diikuti Mitchell Cheah dan Brandon Anthony dari pasukan Hi-Rev Dream Chaser kedua manakala gandingan Hayden Haikal dan Naquib Nor Azlan ketiga dari pasukan Wing Hin Motorsports.
Sementara itu dalam sesi kelayakan kedua ‘Touring Production’ pula pelumba pasukan Sitty Racing, Ahmad Akid dan Fitra Eri meraih petak pertama dengan catatan masa 2 minit 37.813 saat.
Tempat kedua menjadi milik H.M Tauhid Anuar dan W.S Lai manakala Faidzal Alang dan Lee Kum Soon menyambar tempat ketiga dengan kesemua pelumba menggunakan jentera Honda Civid FD.
Kategori ‘Stock Production’ SP1 pula menjadi milik pelumba Jepun, Makoto Fujiwara dan Masaya Kono mendapat tempat pertama dengan Putera Adam kedua manakala gandingan Mohammad Fariz dan Gilbert Ang ketiga.
Esok keempat-empat kategori perlumbaan ini akan mengharungi cabaran 300 kilometer sebanyak 54 pusingan dengan juara keseluruhan menanti para pemenang. Perlumbaan akan bermula jam 10.30 pagi dengan kemasukan ke litar adalah percuma.