PENGERUSI Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir bersyukur Indonesia hanya menerima sekatan ringan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) supaya pasukan kebangsaan Indonesia dapat beraksi di peringkat antarabangsa termasuk Sukan Sea 2023 yang akan bermula hujung April ini.

“Saya telah mencuba yang terbaik apabila bertemu dengan Fifa. Dengan sekatan ini, kami masih meneruskan program transformasi bola sepak bersama Fifa. Dengan sekatan ini, kami tidak diberikan kad merah, tetapi kad kuning supaya kami boleh bermain dan bersaing dalam Sukan SEA hujung bulan ini,” kata Erick.

Sekatan Fifa ke atas Indonesia selepas gagal mengekalkan komitmen menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 yang menyebabkan pembatalannya adalah dalam bentuk pembekuan dana FIFA Forward untuk Indonesia.

“Selepas saya menyampaikan mesej Presiden Jokowi, dan menjelaskan pelan tindakan bola sepak kami, Fifa hanya memberikan sekatan pentadbiran dalam bentuk pembekuan dana FIFA Forward untuk keperluan operasi PSSI. Ini akan dikaji semula selepas Fifa mengkaji strategi besar untuk membangunkan bola sepak Indonesia,” katanya lagi.

Bagi Erick, sekatan pentadbiran yang diberikan oleh Fifa adalah pengajaran dan rahmat buat bola sepak Indonesia yang kini terus meningkat ke arah penambahbaikan dalam semua sektor.

“Saya hanya mampu mengucapkan, Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT dan doa seluruh rakyat Indonesia khususnya pencinta bola sepak, Indonesia dapat mengelak daripada hukuman berat penyingkiran daripada bola sepak dunia. Dengan kata lain, Indonesia hanya mendapat kad kuning, bukan kad merah,” kata Erick.

Fifa sendiri memastikan Indonesia hanya akan menerima sekatan pentadbiran selepas dilucut hak penganjuran Piala Dunia B-20 2023.

“Presiden Fifa juga menjelaskan bahawa berikutan mesyuarat minggu lalu, Pentadbiran Fifa mencadangkan hukuman sementara untuk mengehadkan dana FIFA Forward sehingga diberitahu kelak. Pentadbiran Fifa akan mengkaji semula pelan strategik yang dibentangkan hari ini sebelum menarik balik sekatan,” tulis kenyataan badan induk itu.

Pasukan Garuda Muda B-22 kendalian Indra Sjafri akan bermain perlawanan pertama untuk Sukan Sea 2023 pada 29 April. Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Kemboja, Filipina, Myanmar dan Timor Leste.