PENGURUS Manchester United Erik ten Hag mengakui agak berisiko meletakkan Marcus Rashford di bangku simpanan, namun keputusan itu perlu bagi mendisiplinkan pemain, dalam masa sama memastikan budaya kemenangan kelab berkekalan.

Rashford, lewat datang ke mesyuarat pasukan kerana terlebih tidur, diturunkan sebagai pemain gantian menentang Wolverhampton Wanderers pada malam tahun baru, yang menyaksikan United menang 1-0.

“Mungkin ia berisiko tetapi, jika anda mahu membentuk sesuatu bagi mencipta mentaliti dan budaya kemenangan, anda perlu melalui proses ini.

“Jika anda membenarkan pemain terus tidak berdisipin, tidak mengikut piawaian dan standard perlawanan yang dicapai bersama pemain dan staf, begitu juga dalam bilik persalinan, ia akan akan balik kepada anda dan menyusahkan anda semula kerana,” kata Ten Hag.

Rashford, 25, kembali mendapat tahap prestasi terbaik di bawah Ten Hag dan menjaringkan 13 gol pada 24 penampilan setakat ini.

“Inilah cara pemain yang bijak menerima hukuman dan dia akan bertindak balas begini. Saya dan Marcus agak baik, mengenalinya tujuh hingga lapan bulan, jadi memang reaksi sebegini yang saya mahu dia tunjukkan,” ujarnya.

United akan melayan kunjungan Charlton Athletic pada suku akhir Piala Liga Selasa ini, sebelum kembali beraksi dalam Liga Perdana menentang pencabar utama, Manchester City pada pertemuan derby, Sabtu depan. -Agensi