ATLET taekwondo negara, Nur Humaira Abd Karim optimis dalam menyasarkan kelompok lapan terbaik di peringkat Asia, juga di Kejohanan Dunia nanti.
Menurut atlet berusia 22 tahun itu, pencapaian yang agak cemerlang semasa tahun 2023 telah membuatkan dirinya lega untuk meneruskan rentak prestasi yang lebih baik untuk musim 2024.
”Sasaran saya dan pasukan adalah untuk menduduki tempat lapan terbaik di Asia, juga di Kejohanan Dunia (lapan terbaik).
”Kejohanan seterusnya adalah di Kejohanan Asia, Vietnam iaitu pada bulan Jun, dan kemudiannya pada hujung tahun ini kami ada Kejohanan Dunia juga.
“Sekarang kami sedang fokus pada sesi latihan dan saya yakin anugerah yang saya terima hari ini dapat menaikkan semangat saya,” ujarnya selepas tamat sesi Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM).
Humaira yang dinobatkan sebagai Olahragawati Universiti Malaya pada Rabu, percaya bahawa ianya menjadi pemangkin semangat buat dirinya terus menonjolkan aksi hebat di kejohanan akan datang.
Anugerah yang diterima Humaira setimpal dengan usahanya dalam berjuang memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 lalu, dalam kategori Poomsae individu wanita.
Artikel Berkaitan: Wan Fazri, Humaira dinobat Olahragawan dan Olahragawati Universiti Malaya