KETUA jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner menyifatkan kemenangan besar malam ini adalah kerana semangat juang dan sikap positif pemainnya yang bermain mati-matian sehingga ke wisel penamat.

“Saya bangga dengan anak buah saya, mereka tunjukkan sikap yang baik dari mula lagi. Mereka ingin terus menjaringkan gol untuk menggembirakan penyokong.

“Ia bukan mudah kerana kami kehilangan 11 pemain selepas perlawanan  terakhir bertemu Pahang FC.

“Hanya pada Khamis kami mulakan latihan dan kami hanya dapat melakukan dua sesi latihan dan kami pamerkan persembahan yang baik.

“Ini adalah hari kita, tetapi tidak menjangkakan tujuh gol, kita mahukan prestasi terbaik dalam perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Feichtenbeiner turut memberitahu, dia terpaksa mengeluarkan kapten Brendan Gan selepas pasukannya selesa berada di hadapan 3-0.

Jurulatih dari Jerman itu sedar keadaan Brendan yang masih belum cergas sepenuhnya dan memilih merehatkan pemain tersebut untuk memastikan mendapat tempoh rehat mencukupi untuk perlawanan seterusnya.