IBU Cristiano Ronaldo, Dolores Aveiro menafikan khabar angin yang menyatakan hubungan anaknya bersama Georgina Rodriguez itu kini di ambang perpisahan.

Malah Georgina, 29, turut menepis khabar angin berlakunya pertelingkahan antara dia dan Ronaldo yang telah bercinta selama tujuh tahun.

“Hanya orang cemburu yang mencipta khabar angin, menyebarkan gosip dan hanya orang bodoh yang percaya,” tulis Georgina dalam hantaran media sosialnya.

Penafian daripada dua orang terdekat Ronaldo itu dikuatkan lagi susulan gambar romantik yang dimuatnaik oleh pemain bola berusia 38 tahun melihatkan dia berkongsi makanan dan minuman dengan Georgina di laman Instagramnya.

Tegas Dolores kepada media, dakwaan tersebut disifatkan sebagai penipuan dan apa yang dinyatakan dalam program TV Sepanyol, Socialite kononnya Ronaldo sudah bosan dengan Georgina kerana wanita itu sering menghabiskan masa membeli-belah di Riyadh adalah satu pembohongan.

Dolores juga berkesempatan melawat keluarga Ronaldo yang kini berada di Arab Saudi, Riyadh dan tinggal selama beberapa minggu selepas bekas pemain Manchester United itu berpindah ke kelab Al-Nassr dengan bayaran £173 juta setahun.