PENYERANG baharu Real Madrid, Kylian Mbappe, masih tidak percaya dia kini secara rasmi menjadi pemain Los Blancos.
Pada Jun lalu, Real Madrid membuat pengumuman penting telah berjaya mendapatkan khidmat Mbappe daripada Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma.
Bukan lagi rahsia, pemain antarabangsa Perancis itu diperkenalkan secara rasmi di hadapan puluhan ribu Madridista yang memenuhi Santiago Bernabeu pada Selasa.
“Impian saya menjadi kenyataan hari ini,” kata Mbappe dalam sesi pengenalannya.
Menurut Mbappe, dia sudah lama mengimpikan untuk menyertai Real Madrid. Dia gembira kerana impian masa kecilnya dapat menjadi kenyataan hari ini.
“Saya sangat, sangat gembira. Rasanya benar-benar luar biasa berada di kelab ini,” sambung Mbappe.
“Selama bertahun-tahun saya mengimpikan untuk menjadi pemain Real Madrid dan hari ini impian itu menjadi kenyataan. Saya melihat ibu saya menangis hari ini, kerana ini adalah hari yang luar biasa bagi saya. Saya perlu berterima kasih kepada Florentino Perez yang membolehkan perpindahan ini.”
Kylian Mbappé with his Parents and President.🤍 pic.twitter.com/XN4dMM2W9U
— Madrid Zone (@theMadridZone) July 16, 2024
Mbappe juga menegaskan dia tidak berpindah ke Real Madrid semata-mata dengan tangan kosong.
Dia berjanji akan bekerja keras dan membantu Real Madrid memenangi banyak trofi pada masa hadapan.
“Real Madrid adalah kelab terbesar di dunia. Saya mahu menang dan juga menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini. Hala Madrid!” katanya.
Real Madrid mengesahkan nombor sembilan jersi bakal digunakan Mbappe.