FOTO KREDIT : KDA FC

DUA jaringan Ifedayo Olusegun berjaya membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC membenam Kelantan United FC (KUFC) 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.

Bagaimanapun aksi perlawanan kurang menarik sepanjang babak pertama dipamerkan kedua-dua pasukan kecuali satu percubaan KUFC OJ Porteria yang sekadar menggegar palang tuan rumah.

Manakala, peluang keemasan Ifedayo m-39 dalam kotak penalti dihadang oleh penjaga gol baharu pelawat, Shahril Saa’ri.

Walaupun sebelum itu tuan rumah dan pelawat cuba memasuki kotak penalti lawan masing-masing namun pergerakan penggempur mereka sering tersekat dengan kawalan baik benteng pertahanan kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, percaturan taktikal oleh Nafuzi Zain yang memasukkan Fayadh Zulkifli berjaya mengubah rentak permainan skuad Sang Kenari. Tidak lama selepas dimasukkan, gol pembukaan terhasil apabila hantaran lintang sebelah kiri ditanduk kemas Ifedayo di m-54.

 

 

Serangan bertali arus Kedah menerusi kombinasi Manuel Hidalgo, Lee Tuck dan Ifedayo ke kubu lawan nyaris menambahkan lagi jaringan namun semuanya dipatahkan keampuhan benteng pertahanan.

Bekas penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu akhirnya mengukir lagi nama selaku penjaring pada perlawanan malam ini selepas menolak masuk gol kedua buat pasukannya pada m-74 sebelum disusuli jaringan dari pemain tengah, Amirbek Juraboev.

Pasukan Kijang Hijau memperoleh gol saguhati menerusi larian memukau Ismaheel Akinade yang mengatasi pertahanan kedah pada masa kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Kedah terus mengekalkan posisi keempat liga dengan kutipan 34 mata sementara KUFC berada di kedudukan ke-12.