KEDAH Darul Aman FC (KDA) gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas kepada Melaka United 2-3 dalam aksi yang menarik di Stadium Darul Aman.

Melaka United yang ketinggalan 2-1 pada separuh masa pertama berjaya bangkit dengan dua gol pada babak kedua untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Kedah bagaimanapun mengawal aksi pada awal babak pertama dan Ronald Ngah Wanja berjaya menggamatkan Stadium Darulaman pada minit ke-20 apabila beliau tenang merembat masuk bola hantaran Syafiq Ahmad dari dalam kotak penalti.

Namun kegembiraan penyokong Kedah tidak bertahan lama apabila Ifedayo Olesegun menyamakan kedudukan 1-1 selepas menerima hantaran Wan Zaharulnizam menewaskan Ifwat di gawang.

Sorakan 6,418 orang penyokong tuan rumah menjadi saksi gol ajaib Syafiq Ahmad yang merembat dari jarak 35 meter selepas menerima hantaran Al Hafiz Hamzah menewaskan Bryan See yang terpaku sekaligus memberikan Kedah kelebihan 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Perlawanan separuh masa kedua menyaksikan Kedah banyak menguasai perlawanan tetapi hampa dengan penyudah yang kurang tajam dengan Melaka United sesekali cuba melakukan serangan balas.

Pengendali Melaka United, Asri Ninggal memasukkan Norshahrul Idlan Talaha bagi menambah sengat bahagian serangan yang nyata tidak mendapat sokongan secukupnya daripada bahagian tengah.

Pertukaran itu ternyata membuahkan hasil apabila Emmanuel Oti berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas Ifwat Akmal gagal menangkap kemas bola hasil dari hantaran lintang.

Ketika saingan memasuki minit terakhir, Ifedayo Olesegun muncul wira Melaka United apabila menanduk masuk gol kemenangan sekaligus mengecewakan tuan rumah.

Dengan kemenangan ini, Melaka United berjaya naik ke tangga kelapan dengan enam mata manakala Kedah jatuh ke tangga keempat kekal dengan 12 mata selepas tujuh perlawanan.