DUA sepakan penalti yang disempurnakan dalam 10 minit terakhir memberikan kelegaan dan memulih maruah Kedah Darul Aman FC apabila mencatatkan kemenangan 2-0 keatas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penalti pertama disempurnakan Ifedayo Olusegun yang kembali ke kancah Liga Malaysia ketika jendela perpindahan kedua manakala penalti kedua disudahkan oleh Lee Tuck pada minit-minit akhir perlawanan untuk memberikan Sang Kenari tiga mata penuh.

Meskipun turun dengan dua pemain import baharu, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede, Kedah dilihat masih bergelut untuk memecahkan benteng PDRM yang dikawal kemas Kyam Min Oo dan James Okwuosa.

PDRM pula yang semakin dikenali sebagai pasukan yang penuh kejutan beraksi seperti biasa dengan mengamalkan disiplin bertahan yang baik sambil sesekali melancarkan serangan balas yang mencemaskan kubu Kedah.

Perlawanan yang agak hambar dan kelihatan seperti berakhir dengan keputusan seri kembali bernyawa pada 10 minit terakhir apabila Kedah mula menggandakan asakan untuk mencari gol pembukaan.

Usaha anak-anak buah Nafuzi Zain memberikan hasil apabila kesilapan pertahanan PDRM yang tertampan bola di dalam petak penalti dan melakukan kekasaran menghadiahkan penalti yang akhirnya menggembirakan 2,566 penyokong yang hadir.

Kedah yang sebelum ini tewas kepada PDRM di Darul Aman berjaya mengelak kekalahan dan membalas dendam kekecewaan untuk naik ke tangga keempat liga mengatasi Sabah dengan 31 mata.

Kekalahan ini juga menyaksikan rekod empat kemenangan berturut-turut skuad Sang Saka Biru terhenti namun masih kekal di tangga kelapan dengan 22 mata.