PERASAAN teruja jelas terpancar di wajah Ifedayo Olusegun selepas dirinya kembali beraksi ke kancah Liga Malaysia musim ini.
Kedah Darul Aman (KDA) FC antara destinasi terbaharu Ifedayo untuk terbang tinggi dan dia akui tidak sabar bermain secara kompetitif serta bertemu kembali kelibat pemain terbaik liga.
“Saya ada beberapa opsyen, untuk menyertai beberapa kelab. Tapi selepas menyemak kestabilan Kedah sekarang, pengurusan dan barisan pemain yang ada. Saya memutuskan untuk datang ke sini kerana saya fikir ia akan menjadi sangat bagus dengan bermain pemain di sini.
“Jurulatih (Nafuzi Zain) saya sudah mengenalinya serta pengurus. Saya rasa ia akan menjadi persekitaran kerja yang sangat baik untuk saya dan faktor inilah saya pilih sertai Kedah,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas sesi latihan di Alor Setar pada Jumaat.
Diminta mengulas tidak beraksi kompetitif sejak awal tahun ini, pemain kelahiran Nigeria itu memberitahu tetap melakukan sesi latihan seperti biasa di negaranya.
“Ya, semasa saya berada di Nigeria, saya kembali ke pasukan asal saya di sana. Jadi saya berlatih dengan mereka dan cuba untuk kekal cergas, cuba untuk tidak kehilangan feel (rentak permainan), tetapi saya harap saya dapat melakukannya tidak lama lagi.
“Saya juga sentiasa ingin menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan cuba lakukan tugas saya kerana saya di bawa ke sini untuk menjaringkan gol. Jadi saya akan berusaha dalam setiap perlawanan dan setiap latihan. Sasaran saya adalah menjaringkan gol sebanyak mungkin,” kata pemenang Kasut Emas Liga Super musim 2020 dan 2021 ketika bersama Selangor.
Ifedayo,32, juga tidak sabar untuk menyarung jersi Hijau Kuning buat kali pertama namun terpaksa menunggu aksi bertemu PDRM FC pada 9 Julai depan.
“Saya tak boleh diturunkan lagi melawan Terengganu (3 Julai ini) kerana perpindahan pemain bermula 5 Julai. Harapnya dapat bermain bertemu PDRM dalam perlawanan di tempat lawan,” katanya gemarkan masakan utara seperti ikan goreng, nasi lemak dan sambal sos.